Kelebihan OS Google
BEBERAPA tahun lalu, pengguna mempunyai pilihan Internet Explorer atau Mozilla Firefox sebagai perisian pelayar utama yang menghubungkan manusia dengan Internet.
Manakala pengeluar Internet Explorer iaitu Microsoft terus dengan sistem operasi (OS) Windows yang menjadi nadi kebanyakan komputer selama ini.
Kini, enjin carian terkemuka, Google merasakan mereka perlu menyediakan alternatif baru dalam industri perkomputeran apabila bakal melancarkan OSnya sendiri iaitu Chrome tidak lama lagi.
Ia selepas kejayaan pelayar mereka yang turut memakai nama sama sejak dilancarkan.
Pengarah Pengurusan Produk Google, Caesar Sengupta, berkata sejak pelayar Google Chrome dilancarkan kira-kira setahun lalu, ia sudah mempunyai lebih 40 juta pengguna yang menggunakannya secara kerap.
“Ia jumlah yang memberangsangkan untuk dunia perpelayarkomputeran serta mereka yang hidup dalam persekitaran Internet,” katanya.
Menurut Caesar, Google Chrome direka untuk pengguna yang menggunakan laman web secara kerap untuk mencari maklumat, memeriksa e-mel, membaca berita online, membeli-belah atau berhubungan dengan rakan.
“Bagaimanapun, sistem operasi yang digunakan untuk menggerakkan Google Chrome tidak berjalan lancar seperti dikehendaki,” katanya.
Katanya, pengguna Google Chrome merungut mengenai ketidakupayaan sistem operasi mereka melancarkan kerja harian memandangkan pengguna masih mahu menggunakan Chrome sebagai pelayar utama.
“Berdasarkan maklum balas pengguna, kami nekad melancarkan OS baru yang menepati kehendak pengguna,” kata Caesar.
Beliau memaklumkan, Google Chrome OS dibina berasaskan konsep sumber terbuka demi menggalakkan kodnya diuji komuniti berkenaan yang mampu menambah baik sistem terbabit dari semasa ke semasa.
“Kita menawarkan kodnya sebagai sumber terbuka yang akan mendedahkan manusia ke arah dimensi baru bagi zaman perkomputeran mudah,” katanya.
Caesar memaklumkan pada peringkat awalnya Google Chrome OS akan disasarkan kepada peranti netbook berikutan kandungannya yang ringan.
“Kami dalam peringkat perbincangan dengan pengeluar komputer peribadi (PC) namun ia tidak akan didedahkan dalam masa terdekat. Cuma yang pasti, pengguna akan mendapatkan OS ini di pasaran pada pertengahan tahun ini,” katanya.
Selain itu, Caesar berkata, Google bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana organisasi yang berminat dan akan menyerahkan kod sistem kepada komuniti sumber terbuka bagi tujuan pembangunan aplikasi.
“Kami mahu berkongsi visi yang boleh difahami masyarakat,” katanya.
Google menekankan aspek laju, mudah dan selamat sebagai ciri utama dalam pembangunan Chrome OS.
“Pengalaman menggunakan Chrome pasti mengagumkan kerana ia ringan dan tidak disaratkan dengan antaramuka yang maksimum.
“Malah, kami mengkaji dari pelbagai sudut untuk memastikan keselamatan yang ketat bagi mengelakkan pengguna terdedah kepada bahaya virus, malware dan memperbaharuinya” katanya.
Beliau turut menjelaskan pasaran Malaysia penting dalam peta Chrome apabila penyelidikan mendapati pengguna Internet di negara ini kini mencecah 16.9 juta pengguna dengan kadar celik Internet sebanyak 65.7 peratus.
“Berdasarkan kajian penyelidik ComScore pada Ogos tahun lalu, rakyat Malaysia menghabiskan sekurang-kurangnya 14 jam setiap bulan untuk melayari Internet manakala generasi mudanya menggunakan 3.3 jam masa mereka untuk perkara sama,” katanya.
Katanya, berdasarkan faktor di atas, penggunaan Google Chrome dijangka meluas manakala OS pula akan diterima baik. Google Chrome OS berasaskan sumber terbuka membawa maksud kod program aplikasi atau perisian boleh dikongsi jurutera program atau sesiapa saja asalkan ia mendapat akses kepada data terbabit yang didedahkan secara percuma di dunia siber.
Ia bermakna kod program itu mampu diubah suai mengikut kehendak jurutera terbabit bagi mengembangkan program komputer agar ia menjadi aplikasi lebih baik yang boleh dikongsi individu lain.
Namun, individu yang mahu berkecimpung dalam teknologi sumber terbuka perlu arif dalam bidang perkomputeran terutama berkaitan kod program dan skrip.
Kebanyakan pengamal sumber terbuka pula dikatakan individu celik IT yang berusaha mencipta program bersesuaian dengan keperluan hidup manusia tanpa mengharapkan ganjaran pada masa depan.
Sumber terbuka adalah model yang mesra komuniti dan berinovatif dalam menyediakan perisian berkualiti tinggi berdasarkan standard industri.
Ia akan dilesenkan di bawah Lesen Umum Awam (GPL) yang memberikan penyelesaian fleksibel kepada pengguna untuk menggunakan perisian secara percuma tanpa risau mengenai kata laluan vendor serta akan terus berkembang memandangkan salah satu komponen dalam sumber terbuka itu sendiri memerlukan pembangun perisian bersedia mendedahkan programnya kepada umum.
Sumber terbuka banyak menumpukan aspek teknikal dalam produk yang releven untuk industri.
Mengulas mengenai perkomputeran ‘cloud’ dalam suasana sumber terbuka, Caesar menjelaskan, ia banyak dibantu model teknologi terbabit untuk membangunkan lebih banyak aplikasi . “Saya turut menjangkakan lebih banyak aplikasi yang akan direka di Chrome menggunakan teknologi sumber terbuka,” katanya.
Katanya, kelebihan sumber terbuka membantu menguatkan aplikasi kerana ia adalah gabungan komuniti paling ramai di dunia.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar